Monday, April 13, 2009

Azman Syah : Solat Wanita di Tingkat Atas

Majoriti artikel dalam blog saya ini seputar isu wanita. Tak tahu kenapa. Apapun menyentuh perihal wanita dalam perbincangan ilmiah dan fiqh sememangnya satu perkara yang terpuji sebagai ganti daripada perbahasan wanita yang selama ini hanya banyak difokuskan sebagai bahan pelaris iklan, objek kecantikan, model muka depan majalah dan sewaktu dengannya. Secara tak langsung wujud satu gambaran bahawa Islam begitu mengambil berat tentang urusan wanita dan ini bermakna mengangkat martabatnya ke suatu tahap yang telah ditetapkan Allah dan Rasul. Tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh barat dan orientalis bahawa wanita dizalimi Islam.

Isu kali ini mengaitkan tentang perbahasan wanita berhubung solat. Iaitu persoalan wanita yang bersolat di bahagian atas masjid atau surau (aras wanita di atas aras imam dan makmum lelaki). Hal menimbulkan beberapa perbahasan, iaitu :

A) hukum keadaan makmum yang terpisah tempat atau terputus saf (kerana dihalangi oleh sesuatu seperti sungai, jalan raya dinding atau disebabkan oleh struktur bangunan.

B) keadaan makmum yang lebih tinggi dari imam.

C) keadaan makmum wanita yang mungkin sejajar atau terkehadapan sedikit dari makmum lelaki yang berada di tingkat bawah.

Apapun kesemua perkara ini berada dalam medan ikhtilaf di kalangan ulama dan fuqaha. Maka insyaAllah dengan segala kelemahan, saya akan cuba mengupas isu ini sedaya mungkin.

A) Fuqaha berselisih pendapat tentang keadaan makmum yang terhalang daripada imam dan keadaan saf yang tidak bersambung. Apabila makmum dapat melihat imam ataupun makmum berada di belakang imam dan mereka (imam dan makmum) berada di dalam satu tempat (masjid) maka sah solat makmum walaupun terputus saf kerana masjid sememangnya dibina untuk melaksanakan solat jemaah, maka setiap tempat yang makmum mampu untuk mendapatkan jemaah di situ, bermakna ia juga berada di tempat jemaah, berbeza dengan kawasan luar masjid kerana ia tidak disediakan dan diiktibar sebagai kawasan jemaah. Oleh itu disyaratkan kawasan luar masjid itu mesti bersambung dengan bangunan masjid. Begitu juga sah solat makmum walaupun tidak boleh melihat imam jika makmum mendengar takbir imam kerana mereka dianggap di kawasan jemaah dan mereka mampu mengikuti imam dengan mendengar takbir dari imam.
Dalam perbahasan keadaan makmum yang dipisahkan oleh sesuatu (seperti jalan, sungai, dinding dll) dari imam, maka perselisihan di kalangan fuqaha adalah sebagaimana berikut:

1) Abu Hanfiah dan Ahmad (salah satu daripada dua riwayatnya) berpendapat tidak sah. Dalil mereka ialah dengan hujah bahawa jalan bukanlah tempat untuk solat maka jalan tersebut serupa dengan sesuatu yang dapat menghalang penyambungan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Umar dari Nabi s.a.w



من كان بينه و بين الإمام طريق فليس مع اللإمام

sesiapa yang dihalangi di antaranya dengan imam itu jalan, maka tidaklah dia bersama imam.

2) Malik, syafi'e dan Ahmad (salah satu dari dua riwayatnya) berpendapat solat tersebut sah. Dalil mereka ialah hadis nabi s.a.w
إنما جعل الإمام ليؤتم به فلا تختلف عليه
Imam itu dijadikan untuk diikuti maka janganlah kamu bersalahan
dengannya.
Kesimpulannya, dalam keadaan mana sekalipun makmum mampu mengikuti imam, maka keadaan tersebut harus. Kerana masjid nabi yang sempit tidak mampu memuatkan jemaah maka ada di kalangan manusia yang bersolat berhampiran dengan masjid dan di tempat yang membolehkan mereka mengetahui perbuatan imam dan situasi ini tidak diingkari oleh sesiapa pun. Golongan kedua ini menjawab hujah golongan yang mengatakan tidak sah solat makmum
yang dihalang sesuatu dari imam iaitu dengan jawapan mereka: sesungguhnya jalan yang bukan merupakan tempat solat itu bermakna tidak boleh didirikan solat di situ tetapi bukan menjadi sesuatu yang menghalang pengikutan dengan imam maka hal ini (mengatakan tidak sah) adalah dakwaan tanpa dalil yang tidak harus diikuti. Sementara dalil yang digunakan oleh golongan pertama adalah hadis yang batil sebagaimana Imam Nawawi berkata : " tidak ada
asalnya". Hadis tersebut diriwayatkan daripada Umar melalui riwayat Laith bin Abi salim daripada Tamim dan Laith ini adalah do'if dan Tamim adalah majhul.
Harus keadaan makmum dipisahkan oleh pemisah dari imam apabila makmum boleh melihat pergerakan imam atau mendengar takbir dan bacaan imam.
Bukhari mengatakan :
"Hasan mengatakan bahawa tidak mengapa sekiranya kamu bersolat dan di antara kamu dan imam ada sungai yang memisahkan".
Berkata Abu Majliz (أبو مجلز) :
" harus mengikuti imam, sekiranya di antara imam dan makmum dipisahkan oleh jalan, atau dinding apabila makmum boleh mendengar takbiratul ihram imam".
Sebagaimana yang terdapat dalam hadis tentang nabi dan para jemaah bersolat dan di antara baginda dan mereka ada sesuatu yang memisahkan.
عن ( عائشة ) قالت كان رسول الله يصلي من الليل في حجرة وجدار الحجرة قصير فرأي الناس شخص النبي فقام أناس يصلون بصلاته

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya… (Hadis Riwayat Bukhari, no. 729)

B) Sementara kedudukan makmum yang lebih tinggi daripada imam, maka fuqaha membincangkan perkara ini dalam bab keadaan imam yang lebih tinggi dari makmum dan sebaliknya. Hukum kedudukan imam lebih tinggi dari makmum adalah makhruh. Abu Mas'ud al Ansari mengatakan bahawa
Rasulullah s.a.w melarang imam berada di tempat yang
lebih tinggi daripada makmum.
Dirawayatkan oleh Darqutni dengan sanad yang hasan dan al Hafiz Ibnu Hajar tidak memberi sebarang komen ke atas riwayat ini dalam التلخيص .
Hamam bin al Harith meriwayatkan bahawa:
أن حذيفة أم الناس بالمدائن على دكان فأخد أبو مسعود بقميصه فجبذه فلما فرغ من صلاته قال : ألم تعلم أنهم كانوا ينهون عن
ذلك ؟ قال : بلى قد ذكرت حين مددتني

Huzaifah mengimami jemaah di Madain di atas tempat yang lebih tinggi dari makmum. Lalu abu Mas'ud menarik bajunya dengan kuat. apabila Huzaifah telah selesai dari solatnya, Abu Mas'ud bertanya kepadanya, tidakkah engkau tahu bahawa perbuatan ini dilarang? Huzaifah menjawab: "bahkan aku mengetahuinya, cuma aku hanya teringat ketika kau menarikku tadi". Diriwayatkan oleh Abu Daud, syafi'e, Baihaqi
dan disohihkan oleh al Hakim, ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.
Namun sekiranya imam berkeperluan atau mempunyai hajat dan tujuan untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi dari makmum, maka hukumnya ketika ini tidak lagi
makhruh. Dirawayatkan oleh Sahal bin Sa'ad as Sa'adi:
رأيته أول يوم وضع وكبر وهو عليها ثم ركع وهو عليها ثم نزل القهقرى فسجد في أصل المنبر ثم عاد فلما فرغ أقبل على الناس فقال أيها الناس إنما صنعت هذا لتأتموا بي ولتعلموا صلاتي
Aku melihat Rasulullah bersolat di atas mimbar pada hari ia mimbar tersebut dibuat, mula-mula baginda takbir sedangkan baginda masih di atas mimbar, kemudian baginda rukuk lalu turun sambil mundur sehingga beliau sujud di kaki mimbar. Kemudian baginda kembali semula ke atas mimbar sehingga selesai solat. Sesudah itu baginda mengadap orang ramai lalu bersabda: "aku lakukan semua ini supaya anda semua mengikutiku, dan supaya anda tahu
bagaimana caranya aku solat".
Dirawayatkan oleh Ahmad dalam musnadnya, Bukhori dalam كتاب الجمعة dalam باب الخطبة على المنبر dan Muslim dalam كتاب المساجد dalam باب جواز الخطوة و الخطوتين في الصلاة .
Kesimpulannya, apabila terdapat maslahat yang menuntut imam untuk berada di tempat yang lebih tinggi dari makmum, maka hal tersebut dibolehkan. Seperti imam ingin mengajar makmum sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w atau seseorang yang mengimami jemaah di tingkat atas dan makmum yang datang lewat tidak mendapati ruang kosong di tingkat tersebut maka ia boleh mendapatkan jemaah di tingkat bawah. Apa-apa yang boleh dilakukan secara الإضطرار (terpaksa) tidak sama keadaannya ketika الإختيار (ada pilihan).

Sementara keadaan makmum yang lebih tinggi dari imam maka ini diharuskan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa'id bin Mansur, Syafi'e, Baihaqi, sementara Bukhori menyebutkan riwayat ini secara ta'liq dari Abu Hurairah:
bahawasanya beliau (Abu Hurairah) pernah bersolat di bahagian atas masjid mengikuti imam (yang berada di bawah).
Ibnu Hajar mengatakan bahawa athar ini disambungkan oleh Ibnu Abi syaibah dari riwayat Soleh maula Tauamah. Soleh berkata:
"aku pernah bersolat bersama Abu Hurairah di bahagian atas masjid dengan mengikuti imam".
Soleh ini adalah lemah tetapi Sa'id Ibnu Mansur telah meriwayatkan dari jalan yang lain daripada Abu Hurairah maka ia menguatkan riwayat Soleh. Sa'id bin Mansur juga meriwayatkan dengan sanad yang sohih dari :
Hasan al Basri tentang seorang lelaki yang bersolat di belakang imam atau bersolat di tingkat atas bangunan mengikut imam. Beliau berkata: "tidak mengapa dengan
keadaan ini".

Daripada Anas bahawa:
beliau pernah bersolat di dalam bilik di rumah Abu Nafi' yang terletak di bahagian kanan masjid. Aras bilik tersebut setinggi tubuh manusia yang berdiri. Pintu bilik tersebut berhadapan dengan masjid di Basrah. Anas melaksanakan solat di situ mengikuti imam dan para sahabat tidak mengingkari perbuatan beliau.
Daripada سعيد بن سليم telah berkata:
"aku melihat Salim bin Abdullah bersolat maghrib di bahagian atas masjid dan ada lelaki lain bersamanya. Iaitu Salim mengikuti imam".
Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Abi syaibah.

Syaukani menyebut:
"Apabila kedudukan makmum terlalu tinggi dari imam seumpama 300 kaki dan makmum tidak mengetahui pergerakan imam, maka hal ini terlarang berdasarkan ijmak tanpa membezakan samada jemaah tersebut dilaksanakan di masjid atau bukan masjid. Namun apabila jaraknya kurang dari itu, maka hukum asalnya adalah harus sehinggalah datang dalil yang melarang di mana keharusan ini didokong oleh riwayat dari Abu Hurairah yang telah disebutkan di atas dan perbuatan beliau itu tidak diingkari".

C) Berkenaan dengan makmum wanita, maka para ulama selain hanafiah bersepakat bahawa sah solat wanita yang berkedudukan sejajar atau terkehadapan dari makmum lelaki. Bahkan Hanafiah mengatakan sekiranya kedudukan makmum wanita terkehadapan dari makmum lelaki maka solat makmum wanita itu adalah sah sementara solat makmum lelaki batal!! Inilah variasi fatwa dalam dunia ikhtilaf. Tiada apa yg perlu dihairan kerana setiap ulama memiliki pendekatan dan daya kekuatan masing-masing ketika berinteraksi dengan sumber dalil dalam mengistinbatkan hukum.

Oleh yang demikian, hasil daripada persembahan dalil tetang kedudukan makmum yang berada lebih tinggi dari imam juga boleh diterapkan pada keadaan wanita yang bersolat di bahagian atas masjid atau surau di mana kebanyakan surau atau masjid hari ini dibina dalam bentuk demikian dan sebagai satu cara untuk mengasingkan jemaah lelaki dan wanita. Ini kerana lelaki dan wanita itu sama sahaja dari sudut tempat perbahasan hukum dan sebagai manusia yang ditaklifkan, sebagaimana yang kita ketahui bahawa khitob syarak yang ditujukan kepada lelaki adalah bersifat umum merangkumi wanita sebagaimana yang dibincangkan dalam perbahasan usul fiqh. Maka membezakan lelaki dan wanita dalam isu ini adalalah تحكم (dakwaan tanpa bukti dan dalil)

TOPIK SISIPAN : KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM
Para ulama berselisih tentang kedudukan makmum yang berada di hadapan imam yang diikuti.:
1) Abu Hanifah, Syafi'e (fatwa jadid) dan Ahmad mengatakan tidak sah solat makmum.
2) Malik dan Syafi'e (fatwa qodim) berpendapat sah solat tersebut.

Golongan pertama berhujahkan dengan hadis:
إنما جعل الإمام ليؤتم به
dijadikan imam itu adalah untuk diikuti.
Kerana mereka berhujahkan bahawa konsep pengikutan imam itu adalah dengan melihat dari arah belakang imam. Dan keadaan tersebut (makmum depan imam) tidak dinaqolkan dari Nabi dan bukanlah ia terbit dari makna dalil-dalil yang dinaqolkan, maka solat dalam keadaan demikian tidak sah. Mereka berpendapat bahawa kedudukan makmum yang bukan di tempatnya iaitu di belakang imam seumpama kedudukan makmum di kawasan yang bernajis.
Golongan kedua mengatakan keadaan makmum yang berada di hadapan imam bukanlah satu situasi yang menghalang pengikutan imam (الإقتداء ) maka hal ini serupa sahaja sebagaimana jika imam berada di belakang imam. Tambahan pula perbezaan kedudukan tidak memberi kesan kepada rosaknya solat dari pihak makmum. Keadaan makmum dan imam dari segi niat adalah sama dan makmum mengikuti imam dalam segala perbuatannya.
(sila rujuk حاشية ابن عابدين, الإشراف, المجموع dan المغني )
Oleh itu, hal ini boleh juga diterapkan dalam isu keadaan makmum wanita yang bersolat di tingkat atas masjid atau surau di mana kedudukan mereka mungkin terkehadapan dari kedudukan imam. (bergantung kepada struktur pembinaan masjid dan pembahagian tempat untuk wanita di tingkat atas)

No comments:

Post a Comment